(BH) : Lesen perniagaan Ukhwah Firdausi Travel Dibatalkan

Sumber gambar : Google

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) membatalkan lesen perniagaan agensi pelancongan, Ukhwah Firdausi Travel, susulan 147 jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) awal Mei lalu.

Pembatalan lesen perniagaan agensi itu dibuat serta merta selepas siasatan mendapati ia gagal mematuhi peraturan Seksyen 8(1)(d) dan Seksyen 8(1)(f) di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, yang ditetapkan kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata agensi berkenaan menunda empat kali penerbangan jemaah sejak 8 Mei lalu. "Alasan mereka tidak dapat menyediakan penginapan jemaah akibat masalah penginapan penuh adalah tidak munasabah. Agensi terbabit sepatutnya sudah tahu Ramadan adalah waktu puncak ibadah itu. "Malah agensi ini pernah melakukan perkara sama tahun lalu, namun membuat rayuan dan membayar kompaun. Ternyata mereka tiada mengambil iktibar dengan kejadian tahun lalu," katanya pada sidang media Promosi Warna Warni Aidilfitri, di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, di sini petang tadi.

Program edisi ke-13 itu mengetengahkan pelbagai produk kraftangan tempatan untuk persiapan menyambut Hari Raya seperti pakaian, kuih muih dan aksesori dalaman rumah. Turut hadir, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Zuraidah Mokhtar; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Kraftangan Malaysia, Yusak Mahamod dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Mas Ermieyati menggesa mangsa membuat laporan polis selain meminta bakal umrah dan haji lebih berhati-hati memilih agensi pelancongan. "Pastikan buat semakan secara terperinci terlebih termasuk perjanjian sebelum membuat pembayaran kepada agensi supaya tidak ditipu dan dianiaya." katanya.



Sila tinggalkan komen untuk AB balas semula kunjungan. Jangan lupa klik-klik sekali ye Piggybank AB tu

No comments:

Post a Comment